PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan tambang percuma kepada pengguna orang kurang upaya (OKU) beserta seorang pengiring selama sembilan hari bermula 4 hingga 12 Disember ini.
Tawaran istimewa tersebut bersempena Hari OKU Sedunia 2021 yang disambut pada 3 Disember setiap tahun.
Prasarana dalam kenyataan memaklumkan, tambang percuma itu akan melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway (BRT) kendalian Rapid KL.
“Pengguna OKU hanya perlu mempamerkan kad OKU dan MyKad bagi pengiring di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Rapid KL bagi mendapatkan token perjalanan percuma,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut Prasarana, tawaran tambang percuma itu diharap dapat menggalakkan warga OKU untuk menggunakan perkhidmatan syarikat itu khususnya bagi mereka yang belum pernah mencuba mod pengangkutan awam.
Dalam pada itu, berdasarkan statistik dari Januari hingga Oktober tahun ini, seramai 119,167 pengguna OKU telah menggunakan perkhidmatan rel kendalian Rapid KL.
“Jumlah ini dijangka bertambah sejajar dengan kemudahan fasiliti OKU yang lengkap dan pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu lagi. – Malaysiapost

