Tanah runtuh, dua kenderaan tertimbus di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

0
2

DUA kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai -Cameron Highlands, hari ini.

Difahamkan, kenderaan yang tertimbus membabitkan sebuah lori kecil dan kereta dengan membabitkan sekurang-kurangnya dua individu dipercayai terperangkap.

Kejadian tanah runtuh itu turut menyebabkan laluan di kedua-dua arah ditutup kepada semua kenderaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata maklumat kejadian itu diterima pada jam 1.44 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Setibanya jentera di lokasi, didapati tanah runtuh menghalang laluan utama ke Cameron Highlands.

“Berdasarkan maklumat awal, sebuah kenderaan terperangkap di mana terdapat mangsa di dalamnya,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Menurut jurucakap terbabit pihak bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat ketika ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here