KUMPULAN pertama pengambilan 18,702 guru secara ‘one-off’ mula melaporkan diri di sekolah masing-masing hari ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 bagi meninjau kemasukan guru baharu tersebut.
Susulan itu Radzi mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa yang melantik dan berusaha memastikan pengambilan dibuat dengan lancar dan teratur.
“KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini Radzi dilaporkan berkata KPM yakin pengambilan 18,702 guru secara ‘one-off’ akan menyelesaikan masalah kekurangan guru yang berlanjutan bertahun-tahun.
Beliau berkata, pengambilan itu juga akan mengisi kekosongan terkini guru di sekolah KPM.
Berdasarkan data sehingga 19 September 2021, terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah KPM di seluruh negara.
Dengan mengambil kira pengambilan guru secara ‘one-off’ tersebut, bagi kekosongan 2,862 lagi akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh SPP.
Sementara itu Radzi turut berkongsi pertemuannya dengan Cikgu Shaharin Mohd Nor, guru baharu yang melapor diri untuk mula bertugas di sekolah tersebut.
Katanya, Cikgu Shaharin merupakan antara calon guru bagi pengambilan secara ‘one-off’ yang berjaya temuduga untuk Fasa 1.
“Selamat bertugas buat Cikgu Shaharin dan juga guru-guru lain yang mula melaporkan diri dan bertugas,” katanya. – Malaysiapost

