PENASIHAT pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) Tan Sri Annuar Musa menafikan telah ‘mengimport’ penyokong Kelantan untuk memukul gendang bagi menyemarakkan semangat skuad wargakota dalam aksi final Piala Malaysia, malam ini.
Bagaimanapun beliau mengakui ada menerima permohonan berkenaan perkara itu, namun memintanya merujuk kepada kelab penyokong KL City.
“Fakta sebenar, saya tidak menjemput atau import penyokong memukul rebana ubi.
“Saya terima permohonan..Lalu saya rujuk dan minta mereka berhubung dengan naib pengerusi kelab penyokong KL City,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan sama, beliau berpendapat sokongan yang diterima pasukan Kuala Lumpur daripada pelbagai pihak adalah satu perkembangan baik
“Bagi saya apabila KL City mengalu-alukan sesiapa saja yang mahu menyokong pasukan Kuala Lumpur, itu sikap dan petanda yang positif.
“Itu juga tanda komitmen mereka terhadap sukan bolasepak dan wajar diraikan,” katanya.
KL City selepas kali terakhir beraksi di pentas final Piala Malaysia 32 tahun lalu, skuad kendalian Bojan Hodak akan berentap dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. – Malaysiapost

