MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin Menara Merdeka 118 akan memberikan impak langsung postitif kepada rakyat dan ekonomi Malaysia.
Menerusi hantaran Facebooknya, Tengku Zafrul berkata, beliau berkesempatan meninjau kerja pembinaan selepas majlis perasmian penyempurnaan puncak menara Merdeka 118 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
“Selepas Majlis Penyempurnaan bersama PM pagi tadi, saya mengambil peluang ke tingkat 116 Menara Merdeka 118 untuk meninjau kerja-kerja pembinaan yang sudah pun hampir siap.
“Malaysia on top of the world!. Gayat juga di atas sana tadi tetapi pemandanganya memang ‘wow’!,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, banyak perkara yang menarik mengenai menara ini dan antaranya ia menjadi menara tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.
“Selain itu, menara ini juga akan dilengkapi dengan sistem lif yang antara terpantas di dunia dan sistem lif yang boleh digunakan semasa kecemasan seperti kebakaran. Jadi tidak perlu menggunakan tangga lagi. ⠀
⠀
“Selain dari dikelilingi bangunan warisan yang dibaik pulih, Presint Merdeka 118 juga akan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti Masjid Merdeka, pusat beli belah 118 Mall, kediaman, dan pusat penjagaan kanak-kanak,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, semua kemudahan itu dibangunkan bagi memastikan komuniti setempat dapat terus diperkasa, terutamanya komuniti perniagaan yang berdekatan. ⠀
⠀
“InsyaAllah, dalam sedikit masa lagi, Merdeka 118 akan dilancarkan sepenuhnya dan akan memberikan impak langsung postitif kepada rakyat dan ekonomi Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri menyempurnakan pemasangan puncak Menara Merdeka 118 hari ini, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Merdeka 118.
Perdana Menteri berkata, ia sekali gus menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia secara rasmi dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.
Katanya, inspirasi menamakan bangunan berkenaan sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.
Pembinaan Menara Merdeka 118 setinggi 118 tingkat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sudah mencapai 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun depan. – Malaysiapost

