Menara Merdeka 118 secara rasmi kini bangunan kedua tertinggi di dunia

0
2

PENYEMPURNAAN pemasangan puncak Menara Merdeka 118 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Merdeka 118.

Perdana Menteri berkata ia sekali gus menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia secara rasmi dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.

Katanya, inspirasi menamakan bangunan berkenaan sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.

“Selain itu, reka bentuk menara yang tersergam teguh ini sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun yang lalu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bangunan berkenaan bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

“Saya juga berbangga kerana puncak menara tersebut dapat disempurnakan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau juga memaklumkan Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.  

“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada PNB!,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here