Suami maut, isteri cedera nahas tiga hari selepas nikah

0
2

SEORANG lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan tiga hari lalu maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Kampung Galok, Pasir Mas, semalam.

Kejadian jam 4.45 petang itu, meragut nyawa Wan Ahmad Haziq Wan Abd Razak, 25, manakala isterinya, Norainsya Mohd Suhaimi, 22, luka ringan di kepala.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, kereta pasangan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke jalan bertentangan, lalu bertembung dengan kereta lain.

Katanya, mereka dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas.

“Mangsa cedera parah pada dada dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas, manakala isterinya luka di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sementara itu, adik mangsa, Wan Ahmad Aizat, 23, berkata pasangan itu dalam perjalanan ke kedai untuk memilih pelamin bagi majlis bertandang.

Pada awalnya, beliau berkata, isteri mangsa menelefon memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan dan keadaan Wan Ahmad Haziq tidak diketahui.

Ketika beliau dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas, katanya, beliau dikhabarkan abangnya sudah meninggal dunia.

“Kami sarapan bersama-sama di rumah ibu pagi tadi (semalam). Ini menjadi perjumpaan terakhir kami adik-beradik.

“Kami berdua sangat akrab kerana hampir setiap hari dia menelefon saya sebelum majlis perkahwinnanya, untuk berkongsi persiapan,” katanya.

“Ketika bersarapan, dia ada memberitahu isterinya di depan kami sekeluarga bahawa dia mahu memakai pakaian berwarna putih untuk kali terakhir,” katanya.

Beliau berkata, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, Kota Bharu. – Malaysiapost

Foto kredit: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here