Rakyat bukan beli barang basah dua kali sebulan – Fadhli Shaari

0
1
kredit: harakah daily

[PARLIMEN] LANGKAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini, disambut baik kerana sedikit sebanyak dapat mengurang beban rakyat susulan kenaikan mendadak harga barang. 

Bagaimanapun Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkata, program yang menawarkan harga jualan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran itu lebih baik diadakan dua hari seminggu berbanding dua kali sebulan seperti dirancang KPDNHEP. 

“Ini bukan masalah politik, ini masalah kita semua, saya menyambut baik program itu namun saya cadangkan program itu diadakan dua kali seminggu. 

“Rakyat bukan beli barangan basah dua kali sebulan, jadi saya harap program ini diadakan lebih kerap bagi meringankan beban rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Terdahulu Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alaxander Nanta Linggi berkata, program jualan Keluarga Malaysia akan dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 222 kawasan Parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan.

“Kerajaan akan memastikan harga jualan barangan ditawarkan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Kementerian sudah mendapat kerjasama agensi dan jabatan kerajaan lain bagi memastikan jualan barangan keperluan asas pengguna ini sampai kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ini,” katanya

Beliau menjawab soalan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan menteri.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan peruntukan bantuan berjumlah RM262 juta bagi membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here