RTS Link: Malaysia-Singapura realisasi sistem pengangkutan awam selesa, pantas

0
2

MALAYSIA dan Singapura memeteraikan perjanjian projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor dan Singapura termasuk melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara, semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk  Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pemeteraian itu dilaksanakan bagi merealisasikan sistem pengangkutan awam yang selesa dan pantas.

“Jadi, pengguna pengangkutan awam khususnya mereka yang sering berulang-alik dari Johor-Singapura kini dapat bergerak dengan lebih selesa, mudah dan pantas menggunakan RTS Link.

“Walaupun berdepan cabaran akibat Covid-19, namun kerjasama kukuh Malaysia-Singapura berupaya merealisasikan aspirasi rakyat yang mahukan sistem pengangkutan cekap dan efisyen.

“Dengan kapasiti 10,000 penumpang setiap jam, RTS Link yang bakal beroperasi pada tahun 2026 ini juga hanya memerlukan masa lima minit sahaja untuk perjalanan antara Stesen Bukit Chagar, Johor Bahru – Woodlands, Singapura,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, beliau memaklumkan, semalam bermulanya VTL darat dan udara antara Malaysia-Singapura.

“Selain merapatkan semula hubungan rakyat kedua-dua negara dan sesama ahli keluarga, pembukaan sempadan ini juga diharapkan dapat memulih serta mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara.

“Terima kasih buat Menteri Pengangkutan Singapura, Tuan Yang Terutama S Iswaran dan Kementerian Pengangkutan Singapura atas kerjasama erat dengan Malaysia yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.

“Mudah-mudahan dengan wujudnya pelbagai akses pengangkutan awam yang cekap dan efisyen seperti RTS Link, pergerakan orang ramai akan menjadi lebih selesa, lancar dan pantas, sekaligus berupaya mengurangkan kesesakan trafik di pintu masuk kedua-dua negara,” katanya.

Terdahulu, Ka Siong bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran dalam Majlis Sempena Pemeteraian Perjanjian RTS Link Johor-Singapura serta pelancaran Laluan VTL darat dan udara, semalam.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here