Pemuda Amanah mahu PH kerjasama dengan Pejuang, Muda dan Warisan

0
1

SEKUMPULAN pimpinan Pemuda Amanah menggesa Pakatan Harapan (PH) mendirikan khemah besar gabungan pembangkang bagi mengelak kegagalan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan lima Ketua Pemuda Amanah di Wilayah Persekutuan, mereka menegaskan episod kegagalan dalam PRN Melaka mesti menjadi pengajaran kepada semua pemimpin PH.

Menurut mereka, kebanyakan kajian pasca PRN Melaka menunjukkan kehadiran pengundi yang rendah serta pertandingan banyak penjuru di majoriti kerusi memberi kelebihan besar kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Peningkatan peratusan besar pengundi Melayu juga memilih PN dan bukan PH sebagai alternatif kepada BN untuk sebilangan kerusi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli; Hafizzuddin Razian (Kepong), Mohd Nur Fadhil (Bandar Tun Razak), Sheikh Khuzaifah (Bukit Bintang) dan Haripra Lazuardi (Batu).

Menurut kenyataan itu lagi, pemimpin PH perlu berjiwa besar dan mengetepikan sengketa peribadi dengan mengambil pendekatan pragmatik untuk bekerja bersama Pejuang, Muda, Warisan dan parti-parti lain yang sehaluan.

“Masa depan dan nasib tanah air di tangan kita. Rakyat Malaysia berhak mendapat barisan pemimpin berjiwa rakyat yang kompeten untuk berganding bahu bagi mentadbir Malaysia dengan lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here