KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai terus meningkatkan kesedaran intervensi kesihatan awam dalam usaha mencegah jangkitan Covid-19, khususnya ketika varian baharu Omicron sedang menular di beberapa negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata Omicron diketahui mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta, namun belum dipastikan tahap keganasan atau virulence varian tersebut.
“Apa yang boleh kita lakukan dalam masa sama adalah meningkatkan kesedaran intervensi kesihatan awam (pelitup muka, penjarakan, kebersihan), meningkatkan aliran udara (indoor), memastikan orang berusia selamat dan mengambil dos penggalak apabila ditawarkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Baru-baru ini, Khairy mengumumkan kerajaan mengenakan sekatan perjalanan dari negara ini ke tujuh negara di Afrika bermula Sabtu lalu.
Tujuh negara itu ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.
Sekatan itu dibuat susulan penularan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529 atau kini dikenali sebagai Omicron yang mempunyai 32 mutasi ‘spike protein’ iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta.
Tambahnya, tiga negara melaporkan kes baharu Covid-19 membabitkan varian Omicron iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat) dan Hong Kong (dua). – Malaysiapost

