SEORANG petugas di bangunan Parlimen meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Param Jeeth Singh dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lelaki berusia 54 tahun itu bagaimanapun tidak diketahui sama ada menghidap sebarang penyakit kronik sebelum ini dan mangsa sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 pada 11 Julai lalu.
Dr Param berkata, bagaimanapun pada 3 November lalu, lelaki itu mula mengalami gejala seperti demam serta batuk dan beliau telah melakukan ujian saringan Covid-19 RT-PCR pada 8 November dengan nilai CT:17.4.
“Bilik Gerakan Covid-19 Pejabat Kesihatan Lembah Pantai telah menghubungi beliau pada hari yang sama untuk siasatan dan mendapati status Covid-19 kes adalah Kategori 2a.
“Kes telah diarahkan untuk ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Param berkata, pada 9 November, lelaki terbabit hadir ke CAC di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar dan memaklumkan bahawa beliau mengalami sesak nafas.
Katanya, penilaian klinikal menunjukkan status Covid-19 lelaki itu adalah kategori empat dan mangsa segera dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut.
Menurutnya, berdasarkan siasatan pergerakan lelaki itu hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja serta tidak terlibat dengan perjumpaan bersama ahli perwakilan Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum didapati bergejala.
“Mangsa juga tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November lepas.
“Seramai empat orang kontak rapat iaitu dua orang kontak di rumah dan dua orang kontak di tempat kerja telah dikenalpasti dan kesemuanya telah menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenalpasti,” katanya.
Dr Param berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca jangkitan. – Malaysiapost

