KPLB lancar RAVO percepat vaksinasi di pedalaman Sabah

0
1
PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melancarkan operasi Vaksin Penilaian Pantas atau ‘Rapid Assessment Vaccination Operation’ (RAVO) untuk mempercepatkan program vaksinasi bagi masyarakat di pedalaman Sabah.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pelaksanaan program vaksinasi secara mobil ini dapat memudahkan urusan logistik masyarakat tempatan untuk menerima vaksin.

Beliau berkata, pogram di bawah tanggungjawab sosial korporat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan anak syarikatnya, MARA Liner Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Pusat Kesihatan Daerah Papar, bergerak dari rumah ke rumah penduduk.

“Keprihatinan KPLB dan MARA ini merupakan komitmen kementerian dan agensi kita dalam mendokong pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bagi membolehkan semua masyarakat di luar bandar khususnya hari ini di Dun Pantai Manis untuk menerima suntikan vaksin sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Mahdzir berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas simbolik pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA/PKD Wheel RAVO dan lawatan ke Pusat Vaksinasi Papar bagi meninjau sendiri proses pemberian suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar di Papar, hari ini.

Dalam lawatan itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan pelitup muka, panel pelindung muka, cecair sanitasi tangan dan lima buah kerusi roda bagi kegunaan penerima vaksin di pusat vaksinasi PKD Pengalat Besar Papar.

Turut disampaikan, bantuan kemudahan lain kepada pasukan petugas PKD dan sukarelawan kesihatan.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, program RAVO melibatkan 21 perkampungan di Papar meliputi 1,500 orang masyarakat luar bandar yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Katanya, selain Papar, program juga akan meliputi kawasan Kinabatangan, Beaufort dan Tawau dengan sasaran tujuh ribu penduduk akan divaksin.

“Enam bas MARA Liner diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan sembilan buah kaunter vaksinasi termasuk untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Proses suntikan akan dilaksanakan selama satu minggu bermula 1 hingga 7 Disember 2021.

“Ia akan menggunakan tujuh unit kenderaan pacuan empat roda dan satu unit van sebagai kemudahan pengangkutan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here