8,000 unit Rumah Wilayah Keluarga Malaysia setiap tahun – Shahidan

0
1

PROJEK Residensi Wilayah Keluarga Malaysia sehingga November ini, telah mendapat kelulusan bagi pembinaan sebanyak 62,836 unit rumah melibatkan 102 projek di Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata daripada jumlah itu, 95 projek adalah di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat lagi projek di Labuan.

Menurutnya, sasaran Residensi Wilayah Keluarga Malaysia adalah 80,000 unit dalam tempoh 10 tahun iaitu 2018 hingga 2028, di mana setiap tahun sebanyak 8,000 unit perlu disediakan.

“Kita yakin dengan usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi-agensi di bawahnya serta kerjasama daripada pemaju swasta, kita akan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, paling penting adalah usaha berterusan dalam memastikan segala projek tersebut diterjemahkan kepada pemilikan rakyat yang berkelayakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Topping Off Residensi SkyAwani 3.

Menurutnya, SkyAwani 3 adalah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang ketiga oleh SkyWorld selepas Residensi SkyAwani dan SkyAwani II di Sentul.

“Saya dimaklumkan kesemua 1,905 unit kediaman berjaya dijual pada Jun 2019 lalu.

“Tahniah SkyWorld, KWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di atas usaha memastikan jualan kediaman ini diselesaikan sepenuhnya, dan juga usaha dalam menjayakan program Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata, Residensi Skyawani 3 adalah projek pembangunan di atas tanah berkeluasan 4.45 ekar, berharga RM300,000 seunit dengan keluasan 800 kaki persegi dan dijangka siap pada April tahun hadapan.

“Penekanan kepada kualiti binaan SkyAwani 3 yang mengikut piawaian Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) daripada CIDB, wajar dicontohi pemaju Residensi Wilayah Keluarga Malaysia lain.

“Saya percaya projek yang dibangunkan ini akan meningkat tinggi nilai pasarannya dan boleh dikatakan ‘value for money’ kepada pembeli-pembelinya,” katanya.

Shahidan berkata, SkyWorld turut mempunyai beberapa lagi projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dengan jumlah keseluruhan setakat ini hampir 6,236 unit.

“Saya difahamkan SkyAwani 4 dan 5 juga telah habis dijual. Siri Awani seterusnya pula difahamkan kini berada di peringkat perancangan dan akan ditawarkan kepada orang awam pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here