MALAYSIA dan Singapura bersedia melaksanakan langkah-langkah tambahan berkenaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VCL) antara kedua-kedua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada pertemuan dengan Perdana Singapura Lee Hsien Loong di republik itu sebentar tadi, kedua-dua negara mengakui bahawa pembukaan semula sempadan adalah penting.
Beliau berkata, ia bagi mengaktifkan semula aktiviti sosial dan ekonomi rentas sempadan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Saya juga telah berbincang dengan PM Lee langkah-langkah tambahan yang akan kami lakukan berkenaan dengan perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
“Kami berdua telah bersetuju untuk sertakan semua kategori pengembara untuk VTL, tertakluk kepada keperluan kesihatan yang ditentukan oleh kedua-dua negara.
“Memperluaskan VTL untuk memasukkan laluan perkhidmatan bas tambahan melalui Link Kedua, kereta api yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan secara beransur-ansur memasukkan kenderaan peribadi seperti motosikal dan kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, langkah tambahan itu bakal memberi peluang kepada lebih ramai individu di kedua-dua belah tambak yang telah berjauhan dengan keluarga akibat pandemik Covid-19, untuk bersatu semula dengan orang tersayang.
Terdahulu, pada sebelah pagi, lawatan rasmi Ismail Sabri ke Singapura hari ini dimulakan upacara perasmian bersama Hsien Loong melancarkan VCL laluan darat Singapura-Malaysia.
Ini merupakan lawatan rasmi kali pertama Ismail Sabri ke negara republik berkenaan sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, beliau dan Perdana Menteri Singapura juga membincangkan pergerakan rentas sempadan melalui udara antara Singapura dan destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu di Malaysia.
“Kami berdua memutuskan bahawa pegawai kami harus mula merangka langkah untuk tujuan ini,” katanya. – Malaysiapost

