Sistem perkhidmatan kaunter JPJ kuno, perlu ubah ke digitalisasi – Ka Siong

0
2

SISTEM perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada terlalu kuno dan perlu anjakan paradigma ke arah digitalisasi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, pembaharuan sistem yang telah dipakai lebih 10 tahun itu perlu bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat.

Menerusi lawatan kerja mengejut di JPJ cawangan Taman Daya Johor Bahru, beliau menyuarakan rasa terkilan melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling Bangunan JPJ Johor.

“Ada yang memberitahu saya bahawa Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di UTC dan Pejabat Pos.

“Ada juga yang mempersoalkan sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ka Siong berkata, apa yang lebih merumitkan adalah daripada empat mesin cetak LMM di JPJ cawangan itu, hanya mesin sahaja yang boleh berfungsi.

Susulan itu, katanya, beliau terus menghubungi dan mengarahkan Percetakan Keselamatan Nasional (PKN) segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM.

“Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta.

“Saya juga tegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di Bangunan JPJ khususnya pada hari Ahad dan segala kesulitan yang dihadapi bolehlah dilaporkan terus kepada saya. Saya beri terus nombor telefon bimbit saya kepada pegawai JPJ Johor,” katanya.

Dalam masa sama, Ka Siong juga mengarahkan Ibu Pejabat JPJ serta-merta mengumpulkan maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan Pejabat Pos tentang prestasi terkini pencetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak yang dibekalkan oleh PKN.

“Saya tidak mahu situasi yang sama di JPJ Johor berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here