
UJIAN Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi tingkatan satu dan empat sesi 2022, akan diadakan awal Disember ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan, ujian berkenaan akan diadakan pada 3 Disember bagi calon yang berada di negeri Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu, manakala bagi calon negeri lain bermula 4 Disember depan.
Beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke tingkatan satu dan 17,350 permohonan ke tingkatan empat bagi tahun 2022.
“Mereka ini akan dipanggil untuk menduduki ujian secara berperingkat sehingga 30 Januari 2022.
“Semakan tarikh, masa dan tempat ujian ini boleh disemak secara dalam talian bermula 29 November 2021 jam 10 pagi melalui portal rasmi MARA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan buku dan topi keledar sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap, Kedah, hari ini.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pemohon akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang didaftarkan semasa permohonan dan calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian.
Jelas Mahdzir, semua calon yang terlibat akan menduduki ujian khas ini di 61 pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 MRSM di seluruh negara.
Katanya, lapan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang lain di Selangor dan Negeri Sembilan turut dijadikan pusat ujian berkenaan.
Tambah Mahdzir, calon akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan keperibadian.
“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar. Selamat maju jaya.
“Sebarang maklumat serta informasi terkini, sila layari portal rasmi MARA di pautan www.mara.gov.my atau mengikuti laman media sosial rasmi MARA melalui Facebook, Instagram dan Twitter,” katanya. – Malaysiapost
