Royalti minyak: PAS syor tubuh jawatankuasa bebas kaji tuntutan Kelantan

0
1

PAS mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk mengkaji dan meneliti isu tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan Kelantan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata cadangan itu bagi mencari titik persamaan dan penyelesaian berhubung tuntutan berkenaan.

Katanya, jawatankuasa bebas yang disyorkan itu perlu dipersetujui kedua belah pihak iaitu kerajaan negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.

“Saya cadang mungkin ada nampak tiada persamaan, mungkin satu jawatankuasa bebas yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dan Persekutuan untuk kita mengesahkan beberapa perkara, pertamanya faktor jarak (pelantar).

“Fakta kedua pula jumlah pengeluaran dan soal perjanjian… kita akan tengok jalan penyelesaian dan cuba atasi,” katanya memetik laporan AstroAwani.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Kerja Menteri Alam Sekitar dan Air di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mempersoalkan keberadaan PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang dilihat tidak dapat membantu menyelesaikan isu tuntutan itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, isu ini merupakan satu keperluan untuk diselesaikan.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, isu yang sekian lama itu boleh diselesaikan sekiranya ada perbincangan untuk mencari titik persamaan.

Tuan Ibrahim berkata, perkara berkenaan juga akan dibincangkan kembali bersama Kementerian Kewangan dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob.

Semalam, Kerajaan Kelantan memohon penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjelaskan Petronas tidak akan membuat pembayaran royalti kepada mana mana negeri termasuk Kelantan.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, tindakan itu disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri itu. – Malaysiapost

Kredit Foto: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here