Johor pinda had umur calon ADUN kepada 18 tahun

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=443547937336941&set=pcb.443548514003550

MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu akan dipinda daripada 21 ke 18 tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

Hasni berkata, persidangan itu akan diadakan bagi meminda Fasal 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor yang ketika ini hanya membenarkan warganegara berusia 21 tahun yang bermaustatin di negeri itu layak menjadi calon ADUN.

Katanya, keputusan itu dibuat selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, amat wajar bagi maksud mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan untuk keseragaman syarat kelayakan menjadi calon bagi kerusi Parlimen dan kerusi DUN, pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri untuk menurunkan umur minimum calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun dilaksanakan.

“Untuk tujuan itu, satu Sidang Khas Dewan Negeri Johor akan diadakan seberapa segera bagi meminda Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895 bagi Dewan Undangan Negeri selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual Ke-8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat DUN johor Ke-14, hari ini.

Rabu lalu, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setakat ini, beberapa negeri telah meminda Perlembagaan negeri masing-masing.

Antaranya, termasuk Sabah pada Disember 2019, Perlis (Mei 2020), Terengganu (Ogos 2020), Sarawak (November 2020), Kelantan (Disember 2020), Perak (Julai 2020) dan Pulau Pinang (September 2021) dan Kedah baru-baru ini. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Hasni Mohamad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here