Papan tanda SJK(C) tiada tulisan Cina, tunggu KPM, Kerajaan Pahang jawab

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=262072602569893&set=pb.100063014660491.-2207520000..&type=3

MENTERI Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique memilih tidak mengulas mengenai isu beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pekan, Pahang yang menerima papan tanda nama sekolah baru tanpa tulisan Cina.

Sebaliknya, beliau berkata, segala keputusan mengenai papan tanda itu melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri Pahang.

“Oleh kerana ini (melibatkan) Jabatan Pendidikan, saya rasa kita patut mendapatkan respon daripada KPM dan kedua, kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, hari ini.

Baru-baru ini, Sinchew Daily melaporkan Jabatan Pendidikan Pahang membekalkan papan tanda mengandungi nama sekolah SJK(C) dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi tidak dalam tulisan Cina.

Sekolah terbabit adalah di SJK(C) Yoke Hwa dan SJK(C) Kee Wha.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan mengarahkan jabatan pendidikan negeri membina papan tanda baru yang mengandungi tulisan Cina dan Tamil manakala papan tanda nama sekolah sedia ada tidak perlu diturunkan.

Sementara itu, Halimah ketika ditanya adakah tindakan tidak memasukkan tulisan Cina selari dengan perpaduan negara, beliau berkata Bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan.

“Seperti yang saya sebut dari segi penjenamaan itu, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Jadi kalau contoh nak diletakkan bahasa lain, itu patut jadi keputusan kementerian tersebut.

“Kedua, di peringkat negeri ada kaitan dengan kerajaan negeri, jadi kalau pada pandangan kerajaan negeri perlu ada keperluan itu, ia terpulang kepada kementerian dan kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, Halimah enggan mengulas sama ada tindakan itu dianggap tidak menghormati bangsa lain.

“Saya tidak mahu jawab yang itu kerana ia menjurus kepada perkara spesifik. Saya rasa kita dapatkan respon dan kenyataan daripada KPM,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Halimah Mohamed Sadique

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here