MAFI jamin harga sayur kembali stabil hujung tahun

0
1
Tinjauan Malaysiapost berkaitan harga ayam di Pasar Seksyen 6 Shah Alam hari ini.

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan harga sayur terutamanya yang diimport akan kembali stabil menjelang hujung tahun ini.

Jaminan itu diberikan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, yang menyifatkan kenaikan harga yang berlaku adalah disebabkan beberapa faktor namun ia kini berada dalam kawalan pihak terbabit.

Beliau berkata, namun pihaknya tidak mengesan berlaku kekurangan bekalan sama ada sayur import mahupun sayur tempatan.

“Kita mengesan kenaikan ini bermula pada Oktober lalu dan dijangkakan (harga) dapat distabilkan sehingga hujung tahun ini.

“Pada ketika ini kita dapati bahawa ada kenaikan di separuh tempat pemasaran tetapi secara keseluruhannya kenaikan ini sudah dapat dikawal khususnya sayur import seperti brokoli dan kubis bulat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, dalam menangani situasi berkenaan kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dalam masa sama kita juga sentiasa membuat pemantauan harga dan mengadakan perbincangan bersama KPDNHEP dalam memastikan harga terkawal serta bekalan mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh ini rakyat disarankan memilih sayur tempatan berbanding sayur import.

“Ini adalah satu daripada matlamat utama kita, kalau boleh kita mempromosikan penggunaan barangan tempatan,” katanya.

Sebelum ini, KPDNHEP mengesahkan kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini ada kaitan dengan peningkatan harga baja dan racun di pasaran dunia.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu dimaklumkan pada sesi libat urus antara kementeriannya bersama Kementerian Kewangan serta MAFI.

Katanya, antara faktor kenaikan harga sayur-sayuran yang tinggi di dalam pasaran tempatan mempunyai perkaitan dengan kenaikan harga baja dan racun di pasaran dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here