Laksana projek tanaman jagung bijirin elak dedak mahal – Shabery Cheek

0
2
PUTRAJAYA 26 APRIL 2018. Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sidang media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pentadbiran Am Pengawasan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China, Chen Gang di Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani, Putrajaya. NSTP/ABD RAHIM RAHMAT

KERAJAAN disaran melaksanakan projek rintis tanaman jagung bijirin untuk makanan haiwan dalam usaha mengawal kenaikan harga dedak yang menjadi punca harga haiwan ternakan seperti ayam melambung tinggi ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini, projek berkenaan sudah dirangka untuk pelan jangka panjang bagi tempoh 2018 hingga 2032.

Beliau berkata, malangnya perancangan itu tidak diteruskan selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Menurutnya, projek rintis di Dadong, Terengganu dan ladang Ramana K Naidu di Kedah, membuktikan jagung tempatan lebih tinggi kandungan proteinnya dan bebas aflatoxin iaitu racun dikaitkan dengan fungus oleh cuaca yang lembap.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) ketika itu dah buat pelan jangka panjang bagi tahun 2018-2032 untuk capai pengeluaran sehingga 30 peratus.

“Nak 100 peratus perlukan lebih 200,000 hektar tanah. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA pun baru ada sekitar 120,000 hektar.

“Tiba-tiba bertukar kerajaan. Tak ada siapa nak teruskan kecuali encik Ramana tadi (sekarang untung besar). Itu pun baru sekitar 200 ekar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Malaysia ketinggalan dalam industri berkenaan berbanding Indonesia yang mengeluarkan 13 juta metrik tan setahun, Filipina 8 juta, Thailand 5.6 juta.

“Kesian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Serbu pun tak guna. Bila kita import jagung seratus peratus, penternak ayam terdedah kepada harga pasaran dan naik turun matawang kita.

“Lagi banyak import lebih teruk lah matawang akan jatuh. Harga ayam, ikan sangkar dan ternakan lain yang bergantung kepada sumber jagung akan turut naik dan selain faktor pengeluaran lain,” katanya.

Beliau berpendapat cadangan supaya kerajaan memberi subsidi dedak tidak sesuai kerana masih bergantung kepada dedak yang asasnya diimport, namun bagi jangka pendek mungkin sesuai.

“Bagi saya, baik bagi insentif tanaman jagung. Dulu di Dadong guna kawasan padi bukan jelapang yang hanya tanam setahun sekali, lepas tu, terbiar. Jagung pun macam padi. Lebih kurang 100 hari utk dapatkan hasil.

“Banyak kawasan padi yang tak digunakan di Pahang, Terengganu, atau Sabah. Tak payah tebang hutan. Tanah yang datar mudah guna jentera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here