KEPUTUSAN rakyat mengundi sesebuah parti pada pilihan raya bergantung kepada integriti, ketelusan dan keutamakan berkhidmat kepada rakyat, bukan soal parti itu dianggotai golongan muda atau tua.
Perkara itu dinyatakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mengulas pendaftaran parti baharu bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini
“Yang rakyat mahu siapa yang berintegriti, berakhlak mulia dan cakap serupa bikin.
“Orang muda dan tua akan menolak kalau pemimpin sembunyi duit ratusan ribu atau juta di rumah tanpa dijelas dengan terang dari mana duit tersebut diperoleh.
“Tidak hipokrit atau munafik pada hemah umat Islam. Apatah lagi yang otak liberal dan roh penghayatan Islam lesu dan kosong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Syed Saddiq, bekas Ketua Armada Bersatu, hari ini mengemukakan permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Ditemui media selepas hadir ke JPPM, Syed Saddiq berkata, MUDA boleh disertai pelbagai kaum di Malaysia dan tiada had umur ditetapkan.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Putra berpendapat rakyat tidak kisah sama ada sesebuah parti itu digerakkan orang muda atau tua sekalipun.
“Orang muda pun akan jadi tua. Sentimen ini hanya untuk modal politik seperti mana ada yang guna Islam untuk politik diri, guna Melayu untuk raih sokongan orang Melayu.
“Atau guna atas nama pelbagai kaum sebab itu ada MCA untuk Cina, MIC untuk India serta banyak lagi parti seperti di Sabah dan Sarawak.
“Selepas ini ada parti tua, parti wanita, parti orang seni dan parti gay, parti OKU (orang kurang upaya) dan lain-lain. Apakah ini trend baru di Malaysia tidaklah dapat kita ramalkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan penubuhan parti baharu termasuk MUDA dan Pejuang. – Malaysiapost

