Kerajaan Pusat lulus RM1.25 juta naik taraf Mahkamah Sandakan

0
2

KERAJAAN Pusat meluluskan peruntukan bernilai RM1.25 juta untuk membaiki dan menaik taraf bangunan Mahkamah Sandakan.

Peruntukan itu diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya ketika lawatan kerja ke Sandakan hari ini.

Shabudin berkata, ia meliputi kerja untuk membaiki bumbung, mengecat bangunan, menaik taraf sistem pencegahan kebakaran, menggantikan paip air dalaman dan menyelenggara pagar dengan projek dijangka bermula tahun depan.

“Ini antara peruntukan yang agak besar diberikan untuk sistem kehakiman di Sabah.

“Kita harap dengan adanya penambahbaikan kepada sistem dan infrastruktur yang ada di Mahkamah Sandakan, akan menambah perkhidmatan yang lebih efisen dan berkesan,” katanya kepada media hari ini.

Mahkamah Sandakan beroperasi selama 17 tahun bermula pada 2003 dan terdiri satu Mahkamah Tinggi, dua Mahkamah Sesyen dan tiga Mahkamah Majistret.

Shabudin berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM5.49 juta bagi projek pembaikan dan menaik taraf mahkamah di Kudat, Lahad Datu, Keningau, Kinabatangan, Semporna, Beaufort, Tawau dan Kota Kinabalu.

Katanya, peruntukan berkenaan adalah untuk pelaksanaan tahun depan dengan jangkaan projek bermula pada Jun 2021 dan siap pada Jun 2022.

Selain itu, Shabudin berkata, kerajaan setuju menambah lima lagi perkhidmatan mahkamah bergerak bagi memudahkan pengurusan kes berkaitan hak rakyat dalam perlembagaan termasuk surat beranak, kes sivil serta kes jenayah.

Katanya, mahkamah bergerak itu yang ketika ini terdapat sebuah di Sandakan dan dua di Kota Kinabalu berfungsi secara berkesan, serta menjimatkan masa dan kos. – Malaysiapost