Muhammad Mustakim Ramli
JABATAN Kerja Raya (JKR) mengesahkan seorang kakitangannya di ibu pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19, semalam.
Berdasarkan kronologi perjalanan kakitangan itu yang dikeluarkan JKR, dia disahkan positif ketika dalam penerbangan dari Kuching untuk hadir mesyuarat selepas mengambil ujian swab secara rawak di Lapangan Terbang Kuching, 14 September lalu.
“Dalam perjalanan pulang, pihak Hospital Kuching menghubungi beliau dan memaklumkan beliau positif Covid-19,” kata JKR menerusi kenyataan hari ini.
JKR memaklumkan, kakitangan itu telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
“JKR telah mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan. Untuk makluman, kontak rapat dalam kalangan kakitangan JKR telah dan akan menjalani saringan kesihatan serta proses kuarantin di rumah.
“Langkah proaktif telah diambil dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran,” katanya. – Malaysiapost

