DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN), sah tidak bersama dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang berkata, pihaknya tidak akan menjalinkan kerjasama bersama PN dalam kerajaan diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan menerima sebarang cadangan daripada pihak tertentu yang mahu melibatkan Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Adun Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof bagi membentuk kerajaan negeri.
Menurutnya, tindakan itu selaras pendirian Umno yang tidak akan menjalin kerjasama politik bersama Bersatu sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.
“Kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana wakil Bersatu dalam membentuk kerajaan negeri seperti yang diputuskan pada PAU tahun lalu.
“Mana-mana cadangan untuk menggabungkan mereka tidak akan diterima dan kita tetap dengan pendirian tidak bekerjasama dengan Bersatu,” katanya dipetik Melaka Hari Ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, BN memperoleh majoriti besar dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala dua lagi diperolehi PN menerusi Bersatu dan lima oleh Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

