Sotong RM100, Restoran Hameediyah beri penjelasan

0
1

KISAH hidangan sotong bernilai RM100 menjadi bualan hangat di media sosial, hari ini.

Ia tercetus apabila tular gambar selembar resit milik Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell menunjukkan hidangan dua ekor sotong berharga RM100.

Salinan resit menunjukkan harga bagi dua sotong goreng berharga RM100 manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2) menjadi perdebatan warga maya yang menganggap harga itu melampau.

Susulan itu Pengarah Restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim tampil menjelaskan, harga kesemua makanan yang dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk sotong antara RM10 dan RM150.

“Saya mengambil pesanan individu ini dan pasangannya yang mana mereka bungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.

“Sotong goreng ‘appollo’ ini tidak murah, kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram, malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas mengenai harga sotong itu, Riyaaz berkata, sotong goreng yang dibungkus untuk pasangan berkenaan juga bersaiz besar, harganya antara RM110 dan RM120 untuk dua orang, namun dia memberi diskaun kepada pelanggan terbabit.

“Apabila pelanggan ini menempah hidangan sotong tersebut mereka tidak bertanyakan mengenai harganya.

“Pelanggan wanita tersebut dengan jelas melihat saya memasukkan jumlah harga sotong ke sistem pembayaran, dia tidak mengadu apa-apa ketika itu.

“Saya tak sangka mereka menyiarkan salinan resit ini ke media sosial dan saya anggap mereka sengaja mahu tularkan resit ini,” katanya.

Riyaaz turut memaklumkan ini bukan kali pertama restorannya berdepan isu sama kerana sebelum ini pernah tular mengenai harga ayam piru.

Namun Riyaaz berkata pihak tidak bimbang kerana tidak melakukan sebarang kesalahan memandangkan semua harga telah dipamer dengan jelas di papan tanda harga.

“Sebelum ini hidangan ayam piru turut tular kerana dianggap mahal, namun kami tidak memaksa pelanggan membelinya kerana semua harga telah dipamerkan.

“Saya sendiri meminta pekerja untuk maklum kepada pelanggan mengenai harga hidangan tertentu yang mahal, namun mereka mungkin terlupa kerana pelanggan telah lama menunggu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here