Semua MB, KM setuju pinda undang-undang benarkan remaja 18 tahun jadi calon

0
1

SEMUA Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkembangan itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan hari ini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 di Putrajaya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara kerajaan Persekutuan dan negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri.

Katanya, bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi, beliau mengajak semua kerajaan negeri agar menyegera pelaksanaan projek-projek berkaitan ekonomi dan perniagaan.

Antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik, katanya, ialah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri dan
pihak berkuasa tempatan.

“Semua kerajaan negeri juga perlu meningkatkan sistem dan proses penyampaian dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi inisiatif
pendigitalan,” katanya.

Perdana Menteri berkata turut dibincang adalah usaha bersama kerajaan pusat dan negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk memulih kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang tahun 2030.

Beliau menambah, bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan sedang mempertimbang pemberian insentif kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti.

“Pemberian berbentuk pampasan tersebut merupakan inisiatif untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air.

“Kerajaan juga memutuskan supaya produk-produk plastik seperti botol plastik, straw dan sebagainya tidak lagi digunakan dalam mesyuarat-mesyuarat rasmi kerajaan dan inisiatif ini diharap dapat dilaksanakan di peringkat kerajaan-kerajaan negeri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here