Norhizam sebak, mohon maaf pada pengundi Pengkalan Batu

0
2

Nurul Huda Abhar

SETELAH gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee hari ini tampil memohon maaf dan berterima kasih kepada pengundi yang menyokongnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ucapan tersebut dibuat menerusi sebuah video berdurasi dua minit 32 saat yang dimuat naik ke Facebook Aku YB Ke Kau YB, sebentar tadi.

Dalam video tersebut, Norhizam kelihatan sedih dan beberapa kali suaranya tersekat-sekat kerana tidak dapat menahan sebak.

“Assalamualaikum, kepada semua pengundi di N15 Pengkalan Batu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah mengundi dan menyokong saya sepanjang kempen PRN Melaka.

“Saya juga ingin memohon keampunan sekiranya ada kesilapan saya, atau kata kata yang mengguris perasaan sepanjang saya berkhidmat sebagai Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) di Pengkalan Batu.

“Saya berharap Pengkalan Batu terus maju di bawah wakil rakyat yang baru, Insya-Allah!,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.

Beliau antara empat Adun yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sehingga menyebabkan PRN Melaka diadakan.

Norhizam yang bertanding sebagai calon Bebas di DUN Pengkalan Batu menggunakan logo Kunci, bagaimanapun sekadar meraih 1,218 undi.

Kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Kalsom Nordin dengan majoriti 131 undi selepas memperoleh 4,830 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhamad Danish Zainudin dengan 4,708 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Azrudin Md Idris memperoleh 2,681 undi.

Walaupun tewas dalam saingan itu, undi yang diperoleh Norhizam adalah tertinggi dalam kalangan 22 calon Bebas yang mengambil bahagian dalam PRN Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here