Adun DAP gesa Anwar berundur sebagai ketua pembangkang

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Lee Chin Chen menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur sebagai ketua pembangkang ekoran kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Chin Chen yang juga Setiausaha DAP Pahang berkata, Anwar perlu berundur supaya Pakatan Harapan (PH) dapat meneroka hala tuju dan konsensus baharu serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu secepat mungkin.

Namun katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.

“Izinkan saya menjelaskan hujah saya secara jelas terlebih dulu. Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru.

“Saya menyeru Anwar berundur sebagai ketua pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu.

“Sekiranya tiada harapan untuk PH reset semula, kepimpinan DAP mesti mempertimbang untuk keluar daripada gabungan itu dan mencari kerjasama lain bagi memastikan negara mempunyai parti pembangkang yang setia mempertahankan kepelbagaian dan politik sekularisme.

“Sebelum ini, PH sudah lebih setahun taasub dengan permainan angka. Jika kita gagal menghentikan ini selepas kekalahan pilihan raya Melaka dan mengkaji semula hala tuju kita, jika kita terus membanding-bandingkan diri kita secara membuta tuli dengan parti politik Melayu, kita akan hanya mengulangi kekalahan dalam PRN Melaka,” katanya memetik Malaysiakini.

Beliau berkata, PRN Melaka merupakan satu tamparan kepada PH, kerana hanya menang lima daripada 28 kerusi DUN, manakala PKR tewas di semua kerusi ditandinginya.

“PH tidak sepatutnya mengikut tarian empat ‘katak’, membenarkan mereka bertanding di bawah tiket kita dan kita tidak boleh memperolokkan pengundi untuk menerima mereka,” katanya.

Beliau berkata, PH bukan sahaja berikrar untuk menggubal undang-undang anti-lompat parti tetapi juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tanpa PRN, kita boleh bersiap sedia untuk pilihan raya akan datang dengan 11 kerusi DUN yang kita sandang pada mulanya.

“PH bukan saja kehilangan enam kerusi malah ia dikritik kerana PKR dan Amanah menerima pembelot,” katanya.

Menurutnya, ia menjadikan pengundi Cina, yang pada mulanya menyokong PH terlalu kecewa untuk keluar mengundi, khususnya di kerusi campuran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here