Ebby Yus kena serangan jantung dalam pesawat

0
3

PELAKON dan pelawak Ebby Yus mengucapkan rasa syukur kerana dapat menyempurnakan ibadat umrah walaupun diuji dengan masalah kesihatan.

Ebby berkata, dia mengikuti rombongan umrah ke Mekah pada 16 Oktober lalu, namun mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan.

“Detik mencemaskan itu berlaku ketika mahu ke tandas dalam kapal terbang. Masa tu dalam sejam lagi kapal terbang tu akan transit di Maldives. Tiba-tiba berlaku gegaran kerana ‘air pocket’ dan saya pengsan. Ustaz kata ada dalam 10 minit juga saya tidak sedar.

“Bila sedar saya nampak ada orang di sisi dan saya dengar anak kapal buat pengumuman jika ada doktor atau jururawat yang boleh beri bantuan. Kebetulan ada seorang jururawat dari Malaysia yang bekerja di Riyadh, dan dia tolong beri rawatan awal.

“Tiba saja di Lapangan Terbang Maldives, doktor di sana beritahu saya perlu dibawa ke hospital dan tak boleh teruskan perjalanan,” katanya memetik Astro Gempak.

Kerana itu, Ebby terlepas peluang untuk mengikuti rombongan seperti dijadualkan.

Katanya, rombangan mereka sepatutnya tiba di Madinah sebelum ke Mekah namun dia tidak dapat mengikuti rombongan itu kerana ‘tersangkut’ empat hari di Maldives.

“Ketika di hospital Maldives, doktor menyarankan saya tinggal beberapa hari lagi, namun saya fikirkan tentang kos. Saya tak mampu nak bayar.

“Satu hari sahaja di hospital dan saya minta keluar. Saya dan Ustaz Ashraf ke lapangan terbang untuk membeli tiket ke Mekah tapi malangnya tiket tiada hingga kami terpaksa bermalam di Maldives empat hari.

“Jadi saya dan Ustaz Ashraf pun beli tiket terus ke Mekah kerana hari kelima rombongan sudah bergerak ke sana,” kata Ebby.

Bagaimanapun, Ebby bersyukur kerana urusannya untuk menyempurnakan umrah dipermudahkan, walaupun terpaksa berkerusi roda.

“Ini ujian buat saya. Enam hari di Mekah saya terpaksa menggunakan kerusi roda ketika melakukan tawaf kerana masih belum kuat sepenuhnya.

“Namun, saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan walaupun perjalanan umrah kali kedua ini lebih memberi ujian,” katanya.

Ebby sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit lemah jantung dan buah pinggang yang dihidapinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here