DAP dakwa kedai nombor ekor diharamkan jika PN perintah Melaka

0
2
premis judi berlesen. Kred: Sentral My

MENJELANG hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, DAP mendakwa kedai agensi nombor ramalan atau nombor ekor di Melaka akan ditutup jika Perikatan Nasional (PN) diberi mandat di negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa parti komponen PN, terutama PAS kini giat memainkan sentimen agama dan kaum bagi memancing undi, termasuk menggunakan isu penutupan premis nombor ekor di negeri itu.

Jelasnya, tindakan itu hanya mahu memecahbelah masyarakat di Melaka, sedangkan kedai nombor ekor telah lama beroperasi di negara ini.

“Kalau di Melaka (mereka menang), mereka akan mempengaruhi kerajaan untuk tutup kedai agensi nombor ramalan dan (mungkin) minta orang Melaka ke Negeri Sembilan untuk beli nombor.

“Kalau satu atau dua negeri tutup, lama-lama habis semua premis agensi nombor ramalan ditutup di negara ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Melaka, lapor Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, perkara dibangkitkan bukan bertujuan untuk menggalakkan perjudian di Melaka.

Sebaliknya, beliau berkata, hak masyarakat bukan Islam sepatutnya tidak diganggu.

“Kedai ini sudah lama ada, jadi tak ada sebab untuk halang masyarakat bukan Islam membeli nombor ramalan.

“Kita setuju larangan kepada orang Islam, tapi jangan sampai hadkan (halang) masyarakat lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here