Dr Siti Hasmah kekal sihat, tiada kesan sampingan dos penggalak

0
2

KESIHATAN Tun Dr Siti Hasmah tidak terjejas selepas menerima dos penggalak vaksin Covid-19, semalam.

Berdasarkan perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima suntikan berkenaan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Alhamdulillah, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali telah selamat melengkapkan dos penggalak vaksin Covid-19 (booster dose) beliau pada 18 November 2021 di Institut Jantung Negara.

“Jutaan terima kasih kepada semua petugas yang terlibat dan Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Mengulas mengenainya, beliau berkata, Dr Siti Hasmah, 95, tidak mengalami kesan-kesan sampingan selepas menerima dos penggalak vaksin semalam.

“Saya telah dimaklumkan oleh Tun Siti Hasmah sendiri bahawa beliau tidak mengalami apa-apa kesan sampingan serius selepas vaksinasi dan telah pun memulakan aktiviti harian biasa beliau,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan, Dr Siti Hasmah menyeru kepada semua individu yang layak menerima dos vaksin penggalak untuk menepati temujanji mereka.

“Dos penggalak dapat meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 terutamanya kepada golongan yang mempunyai imuniti yang rendah dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

“Jika anda menerima janji temu, pastikan anda hadir untuk mendapatkan dos penggalak anda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here