DUA legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.
Selain itu, pendaki tujuh benua dan penjelajah grand slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin juga menerima darjah kebesaran sama.
Ketiga-tiga mereka antara 40 individu dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.
Darjah Kebesaran itu dikurniakan oleh Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pagi tadi.
Majlis kalungan pingat yang sepatutnya diadakan Februari lalu terpaksa ditunda kepada hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dilaksanakan berikutan penularan Covid-19.
Majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran dimulakan dengan penyampaian kalungan bintang dan pingat Seri Mahkota Wilayah (SMW) kepada sembilan penerima yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.
Turut menerima darjah PMW adalah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim serta pelakon dan penyanyi, Datuk Yusri Abdul Halim dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Majlis istiadat pengurniaan pingat bagi sesi kedua hari ini, menyaksikan seramai sembilan individu menerima Setia Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara, seramai 40 individu menerima Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk, 26 penerima pingat Johan Mahkota Wilayah (JMW).
Selain itu, seramai 48 penerima pingat Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 19 penerima pingat Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 40 penerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). – Malaysiapost

