KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) meletakkan anak muda sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sekadar retorik politik semata-mata.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PH meletakkan calon muda, Muhamad Darnish Zainudin, 25, di Pengkalan Batu kerana melihat potensi dan prinsip beliau yang tidak akan mengkhianati mandat pengundi sekiranya menang.
“Saya dan pimpinan tertinggi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu melawat Bilik Gerakan PH DUN Pengkalan Batu untuk memberi sokongan kepada Danish Zainudin, antara calon muda yang diketengahkan PH untuk merampas semula kerusi DUN ini.
“Bagi PH, calon anak muda bukan hanya sekadar retorik politik semata-mata.
“Kami percaya kepada anak muda berprinsip seperti Danish tidak akan mengkhianati mandat pengundi Pengkalan Batu jika diberi peluang untuk menabur budi dan khidmat kepada penduduk sebagai wakil rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Bagi kerusi DUN Pengkalan Batu, Muhamad Danish bakal berdepan saingan lima penjuru menentang Norhizam Hassan Baktee (Bebas), Datuk Kalsom Noordin (Barisan Nasional), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Pengkalan Batu dimenangi Norhizam mewakili DAP yang bertanding atas logo PKR dengan majoriti 2,756 undi. – Malaysiapost

