Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Melaka membimbangkan

0
1
hospital sg buloh covid vaksin

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau Ra/Rt di Melaka membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan pada Jumaat lalu, kata Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman.

Beliau berkata, ia kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan wabak tersebut kepada masyarakat dan seterusnya risiko pendedahan lebih tinggi untuk dijangkiti.

“Kebanyakan indikator utama seperti purata kes aktif, kematian dan kadar kes memerlukan rawatan di ICU, menunjukkan pola penurunan, namun Rt Covid-19 mencatat peningkatan kepada 0.97 pada 12 November lalu, situasi ini membimbangkan.

“Sebagai makluman, peningkatan nilai Rt berkadar terus dengan peningkatan kes baharu Covid-19 terutamanya jika langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan sepenuhnya oleh semua pihak.

“Oleh demikian, masyarakat diseru agar tidak alpa dan mengambil tindakan aktif dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan demi memastikan penularan jangkitan dapat dikurangkan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Rusdi memaklumkan dari 7 hingga 13 November lalu, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Melaka mencatat penurunan tujuh peratus daripada 1,400 pada minggu sebelumnya kepada 1,300 kes, dan purata kes aktif pula menurun 8.7 peratus kepada 2,809 kes.

Katanya, kematian akibat Covid-19 menurun 33 peratus daripada enam kepada empat kes, manakala purata tujuh hari bagi kes memerlukan rawatan di ICU serta alat bantuan pernafasan, masing-masing menurun 11.8 peratus dan 14.3 peratus.

“Namun, kadar insiden purata kes tujuh hari masih tinggi, iaitu 19.9 per 100,000 penduduk pada minggu epidemiologi (ME) ke-45 (7 hingga 13 November lalu).

“Kadar insiden jangkitan COVID-19 Melaka bagi tempoh 14 hari (4 hingga 18 November lalu) ialah 290 per 100,000 penduduk dan menduduki tangga kelima tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.

“Rt di Melaka menunjukkan pola tidak stabil sepanjang tempoh dua minggu, namun lebih rendah daripada Rt Malaysia,” katanya.

Berhubung kemasukan pesakit ke hospital, Dr Rusdi berkata, hanya tujuh daripada 198 kes yang dimasukkan ke hospital adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima setakat 13 November lalu.

Katanya, jumlah kes aktif yang masuk ke hospital dari ME ke-39 ke ME ke-45 pula menunjukkan pola penurunan, dengan 494 daripada 1,328 kes yang dilaporkan sedang menerima rawatan di fasiliti kesihatan awam dan swasta di Melaka.

“Daripada jumlah itu, 389 pesakit adalah kategori satu dan dua yang tidak dapat menjalani kuarantin di rumah; kategori tiga (31); kategori empat (59) dan kategori lima (15), manakala baki 834 kes kategori satu dan dua sedang menjalani kuarantin kendiri melalui pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

“Kapasiti maksimum katil penjagaan kritikal bagi kes Covid-19 di Melaka ialah 90 bagi empat hospital kerajaan dan enam katil di hospital swasta, dengan purata penggunaan katil penjagaan kritikal bagi seminggu adalah pada kadar 23 peratus.

“Bilangan mesin bantu pernafasan ialah 96 unit dan mencukupi buat masa ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, Jabatan Kesihatan sudah memulakan langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, antaranya menambah jumlah katil untuk pesakit Covid-19 kepada 721 di Hospital Melaka.

Selain itu, Hospital Melaka memiliki fasiliti Hospital Medan MERCY yang boleh merawat 75 pesakit, manakala Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) memiliki 1,351 katil, dengan kadar penggunaan semasa sebanyak 27.4 peratus.

“Pihak Kesihatan Awam menutup kebanyakan Pusat Pemberian Vaksin Awam bagi membolehkan mobilisasi kakitangan kesihatan ke PKRC MITC, Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, CAC Covid-19 dan aktiviti saringan kontak kes Covid-19.

“Semua Klinik Kesihatan (KK) juga bersedia untuk menampung pertambahan pesakit jika berlaku peningkatan kes,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here