Sanusi mohon maaf kepada Mufti Pulau Pinang

0
3

MENTERI Besar Kedah memohon maaf kepada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan bersedia menerima teguran berhubung kenyataannya mengaitkan judi nombor 4D dengan negeri jiran itu.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kenyataannya itu bermaksud penduduk Kedah boleh membeli nombor 4D di mana-mana tempat termasuk Pulau Pinang yang tidak mengharamkan premis perjudian.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak bermaksud menghina Pulau Pinang dan mencari masalah dengan negeri tersebut, lapor Utusan Malaysia.

“Saya terima teguran Dr Wan Salim sebab itu gurauan saya, dia terasa hati saya minta maaf kepada Mufti Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Isnin lalu, Dr Wan Salim menegur Muhammad Sanusi agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan serta menjaga imej sebagai pemimpin kerajaan negeri yang dihormati.

Teguran itu berhubung kenyataan Muhammad Sanusi mengaitkan judi ekor dengan Pulau Pinang yang dianggap sebagai sesuatu mendukacitakan dan tidak wajar.

Menurut Wan Salim, kenyataan Menteri Besar Kedah itu boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang yang sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di negeri berkenaan.

Ahad lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan tidak akan mengeluarkan lagi lesen premis judi nombor 4D di seluruh negeri ini serta-merta.

Pada masa sama, beliau berkata, penduduk di negeri itu yang ingin membeli nombor 4D diminta ke Pulau Pinang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here