TINDAKAN kepimpinan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) menyalahkan Umno susulan tiada kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah tidak wajar, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata Umno berhak menpertahankan diri jika terus dipersalahkan.
“Prinsip berunding saling menghormati. Sekiranya gagal, hanya sebut gagal dan tak perlu menuding jari.
“Bila mula menuduh maka kita juga berhak pertahankan diri,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dilaporkan mendakwa Umno, PAS dan Bersatu hampir bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN Melaka.
Naib Presiden PAS itu berkata, Umno bagaimanapun menarik diri dan menggagalkan kerjasama berkenaan.
Zambry berkata, tiada gunanya berunding jika kesudahannya rakan perundingan dipersalahkan.
“Kalau niat asal dah nak membunuh dan melemahkan rakan perundingan, apa erti berunding?,” soalnya.
Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi Ahli MKT Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyifatkan keadaan itu seperti rumah tangga.
“Betul kata Zambry. Seperti rumah tangga yang gagal, cukup sekadar beritahu sudah tak ada sefahaman, tak boleh diteruskan. Tidak perlu cerita terperinci.
“Suami cerewet nak masakan macam mak dialah, atau isteri kuat kontrol nak balik rumah keluarganya setiap kali rayalah.
“Atau persenda cerita-cerita dalam selimut yang lain. Tak ramai yang nak mengaku peranan orang ketiga menjadi punca perceraian. Bagi yang tak suka bermadu, madu itulah racun berbisa,” katanya. – Malaysiapost

