Nahas Hawk: 2 juruterbang sempat keluar guna kerusi anjal

0
2

DUA juruterbang pesawat pejuang Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempat keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal dalam insiden di landasan Pangkalan Udara Butterworth dua hari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua juruterbang berlepas dari Pangkalan Udara Butterworth bagi sesi latihan penerbangan malam (night Flying).

”Sesi latihan berlangsung selama satu jam, namun pada jam 10.07 malam, pesawat berkenaan dilaporkan terhempas di atas landasan menyebabkan berlaku letupan.

“Bagaimanapun, kedua-dua juruterbang sempat keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal, namun seorang daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi selamat dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil laporan bedah siasat dijalankan Pakar Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) menunjukkan punca kematian Kapten Mohamad Affendi Bustamy adalah disebabkan pelbagai kecederaan akibat terhempas.

Mohd Shuhaily berkata berikutan itu, polis mengklasifikasikan kematian sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan terperinci berhubung insiden masih dijalankan.

Tambah beliau, setakat ini, polis masih belum mengambil keterangan juruterbang yang terselamat berikutan beliau masih menerima rawatan di HSJ.

Jenazah Allahyarham Kapten Mohamad Affendi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa lalu, pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM bersama dua juruterbang dilapor terhempas dan meletup di Pangkalan Udara Butterworth.

Kemalangan itu mengorbankan Kapten Mohamad Affendi yang merupakan juruterbang di No 6 Skuadron Pangkalan Udara Labuan dan berasal dari Bandar Tun Razak, Pahang.

Manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang merupakan Ketua Flait Penerbangan di No 15 Skuadron dan berasal dari Dengkil, Selangor mengalami kecederaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here