Aiman Hanif
BN paling selesa mendahului parti lain dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berakhir esok.
Menurut laporan terbaru hasil tinjauan agensi kerajaan yang dilihat Malaysiapost, BN mampu mencipta kemenangan di 17 kerusi seperti mana disasarkan parti.
Bagaimanapun menurut laporan itu, hanya sembilan “kawasan putih” untuk Umno, manakala lapan lagi kerusi kedudukannya 50-50, namun mempunyai peluang besar untuk menang.
Perikatan Nasional (PN) sehingga kini hanya memiliki satu kerusi selesa untuk dimenangi dan paling tinggi parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mampu memenangi lima kerusi.
Secara kesimpulannya, BN mungkin tidak dapat membentuk kerajaan secara sendirian, sebaliknya perlu bergabung dengan PN.
Dalam pada itu seorang jurucakap agensi kerajaan yang terbabit dengan pemantauan PRN Melaka berkata, Pakatan Harapan (PH) dijangka mampu memberi saingan sengit kepada BN.
“Dijangkakan BN perlu bergabung juga dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri Melaka dan agak sukar untuk BN membentuk kerajaan sendirian.
“Sebab itu Muhyiddin bila ditanya wartawan adakah akan bergabung dengn BN membentuk kerajaan, Muhyiddin jawab ‘kita tengok keputusan PRN’.
“Itu juga petanda Muhyiddin dah tahu tak boleh pergi jauh,” katanya kepada Malaysiapost.
Sabtu ini pengundi di negeri Melaka akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih kerajaan baru selepas kerajaan gabungan Umno- Bersatu tumbang.
Kerajaan gabungan Umno- Bersatu tewas selepas empat Adun diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan.
Sementara itu sumber Umno mendedahkan BN hampir pasti akan menang di 13 daripada 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
“Kita yakin BN hampir pasti menang. Di mana 13 kerusi adalah berstatus ‘putih bersih’ (pasti menang). Dua kerusi ‘hampir putih’ (peluang besar untuk menang) dan tiga kerusi kelabu putih (peluang seimbang untuk menang),” katanya.- Malaysiapost

