EMPAT premis pajak gadai tidak berlesen iaitu tiga di Selangor dan satu di Johor diserbu oleh Cawangan Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini.
Serbuan berdasarkan aduan orang awam dan risikan itu telah menahan 11 individu untuk siasatan lanjut.
KPKT menerusi kenyataan berkata antara dirampas ialah wang tunai RM13,437; barang kemas seperti rantai, gelang, loket dan cincin emas (anggaran nilai RM99,885); alat penimbang emas; cecair asid penguji emas; satu set komputer; dan surat menyerupai surat pajak gadai.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81] iaitu menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah.
“Siasatan awal mendapati kadar faedah dikenakan antara dua hingga lima peratus sebulan iaitu melebihi kadar ditetapkan dalam Akta 81 iaitu dua peratus.
“Tiga individu dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan satu di Mahkamah Majistret Johor Bharu dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut KPKT, pihaknya amat memandang serius aduan diterima berkaitan Pemberi Pinjam Wang (Kredit Komuniti) dan Pemberi Pinjaman Wang Tidak Berlesen atau lebih dikenali dengan panggilan Ah Long.
Katanya, syarikat Kredit Komuniti adalah syarikat yang mempunyai lesen di bawah KPKT dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] dan dibenarkan beroperasi manakala Ah Long tidak berlesen dan memberi pinjaman wang secara haram.
“Terdapat beberapa perbezaan antara syarikat Kredit Komuniti berlesen dengan Ah Long, antaranya peratus kadar faedah dikenakan berbeza dan lebih tinggi dari ditetapkan dalam Akta 400,” katanya. – Malaysiapost

