UMNO nafi mengeluarkan surat kepada ketua-ketua serta setiausaha-setiausaha Umno bahagian di Melaka kononnya pencalonan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri belum muktamad.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitter memaklumkan surat yang tersebar di media sosial dengan tandatangan beliau itu palsu.
“Mana ada surat kepada yang dialamatkan dan dan salinan SK (surat kepada) sama orangnya.
“Tentulah surat ini palsu. Goblok betul yang buat surat fake ini,” katanya yang turut memuatnaik surat palsu berkenaan.
Kandungan surat itu antara lain kononnya pengumuman bahawa Sulaiman akan dilantik Ketua Menteri jika Barisan Nasional (BN) mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) belum muktamad.
Surat tersebut turut menyebut pengumuman itu sengaja dibuat sebagai strategi politik untuk memenangi PRN Melaka.
Ia turut menyebut jawatan Ketua Menteri berhak disandang oleh Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Baru-baru ini Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Sulaiman bukan calon Ketua Menteri sementara seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya beliau berkata BN telah memutuskan bahawa Sulaiman akan dilantik sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal jika parti itu diberi mandat dalam PRN Melaka, Sabtu ini. – Malaysiapost

