
PENGGUNAAN katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital hibrid dan hospital bukan Covid-19 di Selangor turut diisi dengan pesakit daripada kes bukan Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ri Ngadiman berkata, pesakit yang disahkan atau disyaki positif Covid-19 adalah sebanyak 86 kes atau 42 peratus daripada kapasiti ICU di Selangor.
Katanya, manakala selebihnya merupakan kes bukan Covid-19.
“Sehingga jam 8 pagi 18 November 2021, jumlah katil bukan kritikal di hospital bagi pesakit Covid-19 adalah 1,286 dengan kadar penggunaan 92 peratus.
“Manakala, jumlah terkini katil ICU dan repurposed ICU di Selangor (termasuk kes Covid-19 dan bukan COVID-19) adalah sebanyak 203 katil, dengan kadar penggunaannya 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Sha’ri berkata, peningkatan kes Covid-19 di ICU Hospital Sungai Buloh (HSB) adalah disebabkan ia merupakan Hospital Full Covid-19 dan menjadi hospital rujukan bagi semua hospital bukan sahaja di Selangor, tetapi juga di Lembah Klang.
Demikian itu, katanya, ICU HSB juga menerima kes-kes Covid-19 dari hospital lain agar ICU hospital tersebut boleh digunapakai untuk menampung lebih banyak keperluan kes bukan Covid-19.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat 8 pagi tadi, bilangan katil ICU di HSB adalah sebanyak 54 katil iaitu 96 peratus penggunaan.
“Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi situasi peningkatan kes Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke HSB, Sistem Gas Oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) telah ditambahbaik bagi menampung kes-kes Covid-19 di samping membantu mengurangkan beban HSB.
“Selain itu, HSB disokong juga oleh hospital-hospital lain di Lembah Klang sekiranya diperlukan untuk menampung keperluan kemasukan kes Covid-19 ke hospital tau ICU,” katanya. – Malaysiapost
