[Covid-19] PEJABAT Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu mencari penumpang yang menaiki penerbangan Malindo Air OD1008, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 11 September lalu.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu mencari penumpang penerbangan tersebut khususnya yang duduk di barisan kerusi 30 hingga 33.
“Perhatian kepada penumpang bagi penerbangan Malindo Air OD1008, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 11 September 2020.
“Penumpang yang duduk di barisan kerusi 30 hingga 33 diminta untuk menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu di 088-726352,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau sedang mengenal pasti semua individu yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa kemalangan maut di Jalan Chong Thien Vun, Tawau pada Sabtu lalu.
Ini berikutan wanita tersebut disahkan positif Covid-19 hari ini.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata, wanita berusia 75 tahun itu maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran kawasan perumahannya.
“Ketika ini, kami sedang mengesan semua kontak rapat mangsa bagi melakukan ujian saringan Covid-19,
“Ia termasuk pegawai dan anggota polis yang mengendalikan kes, keluarga serta orang perseorangan yang membantu mengangkat mayat,” katanya. – Malaysiapost

