Nurul Huda Abhar
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan cadangan setiap basikal di negara ini perlu didaftar dan dilesenkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.
Beliau dengan tegas memaklumkan, cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat kementeriannya.
Katanya, banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.
“Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebagaimana dilaporkan media, tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kementeriannya dan MIROS akan terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan yang berkaitan.
Tambahnya, program berkaitan keselamatan juga akan dibincangkan dan dikemas kini ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya bulan ini.
“Saya menasihatkan kepada semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Utamakan keselamatan ketika berbasikal di jalan raya kerana mereka turut terikat di bawah peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Ini berikutan, sebelum ini MIROS dilaporkan mencadangkan lesen dan nombor plat basikal diperkenalkan susulan tular beberapa isu membabitkan penunggang basikal baru-baru ini yang menjalankan aktiviti di lebuh raya. – Malaysiapost

