Mahmud, Irmohizam dilantik Lembaga Pengarah MATRADE

0
2

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melantik Datuk Mahmud Abbas dan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) baharu, berkuat kuasa 1 September lalu.

MATRADE dalam kenyataan berkata, Mahmud yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dari Brighton University pada masa ini merupakan Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman korporat terutama dalam industri harta tanah.

“Beliau ialah Ketua Eksekutif Knowledge Economic City (KEC), sebuah syarikat pembangunan harta tanah penyenaraian awam di Madinah, Arab Saudi, dan juga Pengarah Urusan Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) selama tujuh tahun, sebelum menyertai KEC,” katanya memetik laporan Bernama.

Sementara itu, Irmohizam yang juga Pengarah Eksekutif World Trade Center Kuala Lumpur ketika ini bertugas sebagai Penasihat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta ALP Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Bagi pihak Lembaga MATRADE, kami gembira dan mengalu-alukan pelantikan ini. Bersama mereka membawa pelbagai pengalaman dan pengetahuan.

“MATRADE akan terus meneroka kaedah baru untuk membantu pengeksport Malaysia dan meningkatkan eksport terutama pada masa yang mencabar ini,” memetik kata Pengerusi MATRADE, Tan Sri Dr Halim Mohammad. – Malaysiapost