8,332 anggota ATM keluar mengundi awal semalam – Hishammuddin

0
3

SERAMAI 8,332 atau 91.3 peratus anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam. 

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi awal termasuk anggota ATM dan pasangan yang keluar melaksanakan hak serta tanggungjawab masing-masing. 

“Perkara yang penting adalah proses pengundian awal di kesemua lokasi termasuk di kem-kem ATM di Melaka berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. 

“Malah, melalui maklum balas yang saya terima, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berada pada tahap yang baik. 

“Terima kasih saya ucapkan terutama kepada warga ATM kerana berdisiplin dan menunjukkan contoh yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Hishammuddin berharap suasana tenang dan tahap pematuhan SOP sedemikian bukan sahaja dapat dikekalkan sepanjang tempoh berkempen yang hanya berbaki dua hari sahaja lagi. 

“Tetapi lebih penting, dapat dikekalkan pada hari pembuangan undi pada 20 November nanti. InsyaAllah,” katanya. 

Semalam, sebanyak 31 pusat pengundian awal (PPA) dibuka bermula jam 8 pagi bagi proses mengundi awal bagi PRN Melaka. 

Sementara menunggu proses pengiraan pada 20 November ini, kertas undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Hishammuddin Hussein

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here