Projek tambak laut: Adly dakwa BN salahguna wang pampasan nelayan

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=439488074203365&set=pb.100044265287667.-2207520000..&type=3

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mendakwa kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyalahgunakan wang pampasan yang sepatutnya diberi kepada nelayan, yang terjejas akibat projek penambakan laut.

Dakwa Adly, wang pampasan itu digunakan BN sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.

Bagaimanapun, Adly berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa pada PRU14, beliau dilantik Ketua Menteri ketika itu, mendapati sejumlah RM33 juta pampasan yang sepatutnya diberi kepada nelayan tidak pernah dibayar.

Katanya, ia berkaitan kerja penambakan laut untuk penyambungan jeti pelabuhan Tanjung Bruas.

“Sepatutnya wang itu telah diasing sebagai dana khas buat nelayan, dan kerajaan negeri sepatutnya telah pun membayar jumlah pampasan itu kepada mereka.

“Bila kita ambil alih kerajaan kita tahu angka itu adalah RM33 juta. Tetapi itu hanya angka di atas kertas, tetapi telah digunakan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kelebang, hari ini selepas melawat nelayan tempatan.

Tambahnya, kerajaan BN telah menggunakan wang buat nelayan itu untuk membayar gaji penjawat awam dan menganjurkan majlis-majlis kerajaan, kerana kekurangan peruntukan.

“Namun di bawah kepemimpinannya, kerajaan PH cuba mendapatkan wang bagi menampung jumlah yang telah digunakan itu dan mengagihkan sejumlah RM8 juta kepada nelayan sebelum kerajaan negeri tumbang pada Mac 2020 kerana peralihan sokongan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Adly Zahari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here