Isu judi, arak: DAP tak hormat hak orang Islam di Malaysia – Hadi

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=443579867126093&set=pb.100044222510324.-2207520000..&type=3

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan DAP tidak menghormati hak orang Islam di Malaysia apabila menentang tindakan mengharamkan perjudian serta mengehadkan penjualan minuman keras secara terbuka.

Menurutnya, bantahan DAP itu dibuat susulan kerajaan Kedah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumumkan tidak akan lagi memberi kelulusan lesen premis judi dan menghadkan penjualan minuman keras secara terbuka kepada semua pengguna bukan Islam di negeri itu.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa keputusan berkenaan diambil hasil daripada perbincangan dalam Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri pada minggu lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, terdapat pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan mereka menentang tindakan kerajaan Kedah itu dengan alasan kononnya ia menyentuh hak bukan Islam.

“Inilah alasan sama disebutkan apabila kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu memulakan langkah sama suatu ketika dulu.

“Sebaliknya mereka langsung tidak pernah mempeduli hak penganut Islam dan kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengharamkan judi sepenuhnya kepada penganut Islam.

“Malah penganut agama lain juga melarang judi dalam agama mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelas Abdul Hadi, sebelum memulakan langkah tersebut di Kelantan pada 1990, Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berdialog dengan pemimpin bukan Islam dan pemilik premis judi untuk bertanya mereka dari segi agama yang dianuti.

“Apabila dinyatakan bahawa agama mereka menghalalkan arak dan mengharamkan judi, maka kerajaan memberi kebenaran premis arak untuk beroperasi kepada bukan Islam sahaja dan melarang mengeluarkan lesen premis kepada semua jenis perjudian,” katanya.

Justeru, beliau berkata, yang paling dikesali apabila kuasa untuk memberikan kebenaran lesen arak dan judi di bawah Menteri Kewangan.

“Sementelah, Menteri Kewangan pada waktu itu dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sahabat kami yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Kedudukannya yang tinggi pada ketika itu dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri, tidak bertindak dengan betul bagi membantu kerajaan Kelantan. Sebaliknya kami dihadiahkan dengan masalah kewangan secara birokrasi oleh kementeriannya.

“Jadi, apabila terdapat kenyataan pemimpin DAP menentang tindakan kerajaan Kelantan tidak memberi kebenaran lesen premis judi dan menghadkan penjualan minuman keras, Tuan Guru Nik Abdul Aziz rahimahullah membuat kenyataan: ‘Bahawa kami tidak menghalang kamu minum arak sehingga pecah perut’,” katanya.

Malah, Abdul Hadi berkata, PAS menerima ucapan terima kasih daripada golongan wanita dan isteri dalam kalangan bukan Islam yang menyokong tindakan Kelantan.

“Maka, sikap DAP yang tidak berubah sehingga kini merupakan sebab mengapa PAS diputuskan hubungannya oleh DAP.

“Bukannya PAS yang terlebih dahulu memotong tali hubungan antara kedua-dua parti.

“Kami juga mendapat maklum balas, betapa dalam DAP ada juga yang tidak bersetuju dengan sikap agresif pemimpin mereka yang mencampuri urusan agama Islam dan para penganutnya.

“Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang disingkirkan daripada DAP kerana tidak bersetuju dengan pendekatan yang melampau,” katanya.

Beliau turut berkata, DAP mempunyai sikap campur tangan terhadap setiap pelaksanaan Islam yang dibuat oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS atau tuntutan PAS yang mendesak kepada pelaksanaan Islam.

“Sekalipun apa yang dilakukan itu sebenarnya mengikut lunas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan langsung tidak menyentuh hak penganut agama lain,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Hadi Awang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here