Op Benteng: ATM tahan 9 pati warga Myanmar

0
1

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah berhampiran Jalan Bukit Kayu Hitam – Felda Bukit Tangga di Kedah, awal pagi semalam.

Kesemua PATI melibatkan sembilan lelaki dan tiga wanita dikesan di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi kenyataan berkata pasukan rondaan mengesan tanda potongan pada pagar keselamatan dan terdapat tapak kaki manusia menghala ke kebun getah.

Susulan itu, menurutnya anggota rondaan melaksanakan penjejakan berdasarkan kesan tapak kaki tersebut dan berjaya menahan sekumpulan PATI tersebut yang bersembunyi dalam semak.

“Mereka dibawa ke Pos Keselamatan pasukan untuk siasatan awal. Siasatan mendapati, kesemua mereka merupakan warga Myanmar berusia 20 hingga 42 tahun yang cuba memasuki Malaysia melalui sempadan antarabangsa Malaysia/Thailand dengan menggunakan laluantidak sah.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggar RM3,748.80 melibatkan matawang Thailand, telefon bimbit dan barang kemas,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut 2 Divisyen, kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Alor Setar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here